KBS Perlu Beri Penjelasan


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memberi penjelasan berhubung tragedi go-kart yang mengorbankan dua nyawa di Kuantan, Ahad lalu susulan pertikaian dan tunding menunding membabitkan penganjur serta dua badan permotoran negara.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjurnya mempertahankan sudah memperoleh sijil kelulusan keselamatan daripada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM). MAM pula menuduh UTM tidak mematuhi garis panduan keselamatan ditetapkan.

Keadaan bertambah kusut apabila Persatuan Automobil Nasional (AAM), badan induk sukan bermotor negara pula mendakwa MAM tiada kuasa untuk memberikan kelulusan aspek keselamatan perlumbaan permotoran di negara ini.

Gesaan supaya KBS menyelesaikan kekalutan itu dibuat Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), semalam.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman mendesak KBS campur tangan dengan memberikan penjelasan, sekali gus menghentikan situasi yang dilihat tida memberi sebarang faedah kepada keluarga mangsa dan masa depan sukan permotoran itu.

Tegasnya, KBS yang menaungi AAM dan MAM wajar menentukan pihak mana yang selayaknya memiliki kuasa mengeluarkan lesen, sekali gus meluluskan aspek keselamatan di litar perlumbaan.

Kawal selia lesen
"Sikap membisu KBS hanya akan memburukkan keadaan kerana tragedi sudah berlaku. Sepatutnya hanya ada satu badan yang mengawal selia dari segi pemberian lesen dan meluluskan aspek keselamatan sukan permotoran di negara ini.

"KBS juga perlu segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden ini bagi mengenal pasti kelemahan, memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) serta menambah baik kriteria aspek keselamatan sukan permotoran negara," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparuddin Yusup menggesa semua pihak berkepentingan, termasuk KBS, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat memperincikan spesifikasi yang jelas dari aspek keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata, pihak yang meluluskan lesen berlumba itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku kemalangan membabitkan peserta dan penonton.

"MBM turut mencadangkan kerajaan mengenalpasti lokasi sesuai bagi membina litar perlumbaan tetap dilengkapi peralatan yang memenuhi spesifikasi keselamatan sukan permotoran.

"Daam mana-mana sukan permotoran, aspek keselamatan bagi peserta dan penonton perlu diambil kira serta diberi keutamaan," katanya. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA