Kawasan Perumahan Wanita Hamil Positif Zika Bermasalah Wabak Denggi


JOHOR BARU: Kawasan perumahan didiami seorang wanita mengandung berusia 27 tahun yang disahkan dijangkiti virus Zika, dikenal pasti sebagai kawasan bermasalah wabak denggi kerana semburan pengabutan sering dilakukan di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, pesakit terbabit menyatakan beliau tidak pernah berkunjung ke negara-negara terjejas dengan virus Zika, dan mendakwa kali terakhir melawat Singapura adalah enam bulan lepas.

"Bagaimanapun, beliau memberitahu doktor bahawa kawasan perumahannya adalah kawasan bermasalah denggi kerana semburan pengabutan kerap dilakukan di sana," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Berikutan makluman daripada pihak hospital pada Selasa, Ayub berkata, aktiviti kawalan vektor di Taman Desa Harmoni serta tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit terbabit, telahpun bermula.

"Selepas menerima pemberitahuan daripada pihak hospital, tinjauan aedes segera dilakukan di kediamannya dan 400 rumah telah diperiksa, dengan Indeks Aedes sebanyak 2.3 peratus.

"(Semburan kabus racun serangga) berisipadu ultra rendah (ULV) telah dilakukan meliputi 450 rumah. Semburan pengabutan juga dilakukan petang semalam dengan pengesanan kes aktif. Kami juga bercadang memasang perangkap nyamuk dewasa dan membunuh jentik-jentik (larva) hari ini," katanya.

Ayub berkata, Kementerian Kesihatan bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan meneruskan aktiviti kawalan termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, membunuh jentik-jentik dan melakukan semburan pengabutan.

Selain itu, individu yang berhubungan rapat dengan pesakit berkenaan juga akan diperiksa untuk melihat sama ada mereka mengalami demam atau gejala Zika.

"Rakyat Malaysia terutama rakyat Johor mesti memberi tumpuan membersihkan tempat pembiakan Aedes, melindungi diri mereka daripada gigitan nyamuk Aedes serta mendapatkan rawatan awal jika mempunyai tanda-tanda seperti demam, ruam dan konjunktivitis.

"Daripada kes pertama, kedua dan ketiga Zika yang dilaporkan, kita boleh membuat kesimpulan ia agak mudah dijangkiti dengan virus itu ketika melawat tempat-tempat mempunyai wabak penyakit itu, termasuk Singapura," kata Ayub.

Beliau juga menggesa mereka yang pernah melawat negara-negara yang berlaku jangkitan Zika, untuk mendapatkan rawatan segera jika mereka mengalami sebarang simptom.

Katanya, tindakan proaktif daripada masyarakat juga boleh membantu membendung penularan virus Zika di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini, mengesahkan kes ketiga mangsa dijangkiti virus Zika, dan yang pertama melibatkan seorang wanita mengandung.

Pensyarah berusia 27 tahun itu didapati positif dijangkiti Zika selepas beliau mendapatkan rawatan kerana mengalami gejala ruam, sakit badan dan demam di sebuah hospital kerajaan di Johor semalam, kata Dr Subramaniam. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA