Kapal jelajah British 200 tahun ditemukan


OTTAWA - Jabatan Taman Kanada kelmarin mengesahkan pene­muan sebuah kapal penjelajahan British berusia 200 tahun yang hilang semasa satu ekspedisi di Lautan Artik pada 1846.

Kenyataan itu dibuat dua ming­gu selepas sepasukan saintis dari Yayasan Penyelidikan Artik mengumumkan mereka mene­mukan kapal berkenaan yang merupakan satu daripada dua kapal yang terlibat dalam ekspedisi, sebelum dilaporkan tenggelam.

Ketika ditemukan, kapal HMS Terror yang ‘bersemadi’ di dasar laut sedalam 24 meter berkenaan masih dalam keadaan baik di perairan Northwest Passage.

“Pasukan arkeologi bawah air Jabatan Taman Kanada bangga untuk mengesahkan bahawa struktur yang berada di Terror Bay di barat daya Pulau King William, Nunavut adalah kapal HMS Terror,” kata agensi kerajaan tersebut.

Kapal malang HMS Erebus dan HMS Terror meninggalkan Britain pada 19 Mei 1845 di bawah pimpinan Sir John Franklin dalam misi untuk menemukan laluan Northwest Passage yang menghubungkan antara Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.

HMS Erebus ditemukan pada 2014 manakala kedudukan HMS Terror tidak dapat dipastikan sehingga penemuan baru-baru ini.

Menurut pasukan arkeologi itu, keladak dan hidupan laut meliputi bahagian atas dek bangkai kapal berkenaan.

Mereka dapat memadankan beberapa ciri yang lazim dan unik yang terdapat pada kapal penjelajahan British itu dengan rekod sejarah serta spesifikasi reka bentuk kedua-dua kapal tersebut.

Kapal itu dipercayai terperangkap dalam ais sehingga anak kapal kehabisan bekalan makanan selama lebih setahun.

Franklin dan 23 anak kapal dipercayai meninggal dunia pada 11 Jun 1847 atas sebab yang masih tidak dapat dipastikan.

Pada 22 April 1848, baki kelasi seramai 105 orang cuba meninggalkan kapal itu untuk sampai ke daratan namun tiada seorang yang selamat. – AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA