Kantoi Bawa Heroin

Foto Harian Metro
SEREMBAN: Lelaki yang membawa tiga bungkus dadah jenis heroin bernilai RM180,000 berjaya ditahan polis di Kilometer 253 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Senawang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 26 tahun itu pada mulanya ditahan polis peronda lebuh raya kerana memandu kereta Honda Accord secara melulu, jam 10.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan menemui tiga bungkus heroin seberat 905 gram disimpan dalam beg galas yang diletakkan atas kerusi penumpang hadapan kereta itu.

"Siasatan lanjut mendapati suspek dalam perjalanan menghantar dadah itu untuk dipasarkan ke negeri di utara Semenanjung Malaysia. Kita bekerjasama dengan polis Johor dan Pulau Pinang untuk mengenal pasti sindiket terbabit.

"Suspek juga positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA