Kami Terhutang Budi Kepada Sarawak - Mastura


PETRA JAYA: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menyatakan sukar baginya melupakan Sarawak kerana di negeri ini, beliau kehilangan arwah suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, Sebuyau, pada 5 Mei lalu.

Malah, beliau bersama empat anak lelakinya amat menghargai bantuan diberikan kerajaan negeri, khususnya Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) arwah suaminya, termasuk membawa pulang jenazah ke Kuala Kangsar.

"Tan Sri Adenan (Satem) dan kerajaan Sarawak memberi begitu banyak bantuan, termasuk sokongan moral terhadap keluarga kami, begitu juga waris penumpang lain yang terkorban dalam insiden berkenaan.

"Kami sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan jabatan yang terbabit dalam operasi SAR berkenaan," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isterinya, Puan Sri Jamilah Anu di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Pertemuan selama 30 minit itu sempena lawatan pertama Mastura ke Sarawak selepas tragedi berkenaan, selain kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar menggantikan arwah suaminya.

Esok, Mastura bersama keempat-empat anak lelakinya dan seorang menantu akan ke lokasi kejadian, termasuk mengadakan majlis tahlil di sebuah masjid berhampiran.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA