Kaji Cadangan Wajib Program Banteras Dadah

Foto Harian Metro
LANGKAWI: Kerajaan akan kaji cadangan mewajibkan program membanteras dadah dimasukkan sebagai 10 senarai teratas dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) ketua setiausaha kementerian hingga pegawai daerah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa memberitahu, langkah itu perlu dalam usaha memastikan kakitangan awam lebih proaktif untuk mengatasi isu penyalahgunaan dadah yang semakin serius di negara ini.

"Kita sedang teliti usul yang meminta memasukkan program banteras dadah sebagai KPI dalam perkhidmatan awam, khususnya membabitkan beberapa kementerian tertentu sehingga kepada pegawai daerah.

"Ini bagi memastikan kesinambungan usaha membanteras dadah di negara ini," katanya ketika menyampaikan amanat kepada 2,000 perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Padang Matsirat di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Pengerusi PEMADAM Datuk Seri Mohd Johari Baharom dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah selaku Pengerusi PEMADAM Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Mengulas lanjut, Ali berkata, sistem penyampaian perkhidmatan awam negara tidak hanya membabitkan urusan pentadbiran di pejabat, sebaliknya merangkumi penggubalan program membanteras gejala sosial di peringkat akar umbi.

"Sebagai contoh, pegawai daerah yang juga bertindak sebagai Pengerusi PEMADAM Daerah seharusnya bergiat aktif dan bersepadu dalam mengajak komuniti setempat menangani isu dadah," katanya.

Pada majlis sama, Ali turut melancarkan Pelan Strategik PEMADAM sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya dadah menjelang tahun 2020.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA