Juara Remaja Dunia Jin Wei Mara Ke Pusingan Kedua


KUALA LUMPUR: Juara remaja wanita dunia, Goh Jin Wei mengetuai cabaran negara dalam melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Masters Indonesia di Arena Dome, Kalimantan Timur, hari ini.

Pemain berusia 16 tahun itu membuka langkah dalam acara perseorangan wanita dengan mengalahkan pemain tuan rumah, Gregoria Mariska, 25-23, 21-12 dalam masa 39 minit.

Jin Wei akan berdepan dengan pemenang pusingan kelayakan, Desandha Vegarani pada pusingan kedua esok selepas pemain Indonesia itu mengalahkan rakan senegara, Febby Angguni 21-16, 21-14, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.org.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain wanita negara, Ho Yen Mei gagal melepasi pusingan petama selepas disekat oleh pemain pilihan utama, Busanan Ongbamrungphan dari Thailand dengan 21-12, 22-20.
Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, empat daripada lima wakil negara -- Chong Wei Feng, Soong Joo Ven, Goh Soon Huat dan Liew Daren mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan lawan masing-masing pada pusingan pertama.- Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA