Jual Udara 60 Sen Sebungkus


SANGGUPKAH anda membeli sebungkus pek udara segar dengan harga 1 yuan (RM0.60)?

Namun segala-gala tidak mustahil di China apabila bungkusan beg udara sebesar ‘satu pelukan’ itu mula dijual di pusat beli belah Xian, pada Isnin.

Memetik laporan dari Shanghaiist, penduduk tempatan dilihat mengerumuni promosi bungkusan udara itu untuk menikmati bagaimana rasanya udara bersih.

Tidak ramai yang mengetahui sumber asal udara berkenaan tetapi apa yang pasti, ia berasal dari kawasan yang mempunyai tahap udara yang bersih.

Walaupun kerajaan China menyatakan pencemaran udara masih lagi di tahap sederhana, namun wilayah Xian adalah salah satu bandar yang menderita masalah jerebu terutamanya musim sejuk.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tahap indeks pencemaran PM2.5 di Xian difahamkan mencecah 64 mg, yang mana merupakan peningkatan 2.5 kali daripada tahap normal.

Dalam pada itu, kajian yang dijalankan mendapati seseorang yang menghirup udara tercemar di negara China akan menyebabkan kekurangan nyawa untuk tempoh 25 bulan.

Serta kajian selidik yang lain mendapati lebih dari 4 juta warganegara China menghidap masalah kanser pada tahun 2015 sementara 3 juta yang lain meninggal dunia akibat kanser.

Sebelum ini, beberapa usahawan inovatif telah berupaya membuat duit dengan situasi pencemaran udara di China dengan menjual udara segar dari Kanada dan Australia pada harga yang premium. -MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA