JPBN Sarawak Sedia Hadapi Kemungkinan Bencana


KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga pengerusi JPBN berkata, seramai 17,100 anggota dan pegawai yang merangkumi agensi barisan hadapan dalam pengurusan bencana bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Malah, katanya lagi, kekuatan logistik melibatkan lima helikopter, 154 lori, 358 pacuan empat roda, 226 bot dan 50 ambulans bersedia untuk digerakkan bagi kegunaan di seluruh Sarawak.

“Jumlah kekuatan keanggotaan tersebut merangkumi anggota dan pegawai daripada Angkat Pertahanan Awam (APM) seramai 5,000 orang yang boleh digerakkan satu jam pertama, Angkatan Tentera Malaysia 7,192, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1,344, Jabatan Bomba dan Penyelamat 1,343, Jabatan Sukarelawan Malaysia 1,089, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 1,129,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat JPBN Sarawak yang turut dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah dan Timbalan Pengerusi JPBN Datu Jaol Samion serta ahli JPBN lain di Bilik Gerakan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini semalam.

Pada masa sama Uggah memberitahu bahawa mesyuarat itu diadakan bagi melihat isu berkaitan pengurusan bencana dan mengambil langkah yang sewajarnya bersama jabatan dan agensi berkaitan dalam memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat berjalan dengan lancar.

“Bagi memastikan kesiapsiagaan pengurusan bencana negara dapat diuruskan dengan berkesan, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat pada 12 Ogos lalu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju supaya bulan Oktober setiap tahun diisytiharkan sebagai Bulan Kesiapsiagaan Nasional dengan tema ‘Siapsiaga Bencana Tanggungjawab Bersama’,” tambahnya.

Justeru, beliau menggesa semua residen, pegawai daerah serta ketua jabatan dan agensi yang berkaitan merancang dan melaksanakan program kesiapsiagaan menghadapi bencana sepanjang bulan Oktober.

Mengulas lanjut mengenai peruntukan pengurusan bencana, Uggah berkata, sehingga Julai lalu sebanyak RM2.8 juta telah dibelanjakan JKM untuk diagihkan kepada 62,514 mangsa bencana seperti banjir, ribut, tanah runtuh, kemarau dan kebakaran.

“Manakala peruntukan daripada tabung bantuan bencana negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi bantuan wang ihsan mangsa banjir yang diuruskan APM Sarawak selaku sekretariat, sebanyak 20 majlis pengagihan telah diadakan bagi mengagihkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta melibatkan 3,626 ketua isi rumah bagi fasa pertama.

“Baki berjumlah 7,008 ketua isi rumah bagi mangsa banjir fasa kedua dan ketiga dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.5 juta akan diagihkan pada Oktober nanti,” ujarnya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA