Jeritan Gagalkan Rompakan Di Petra Jaya

Foto Utusan Borneo
KUCHING: Jeritan meminta tolong berjaya menggagalkan cubaan sekumpulan penjenayah bersenjata memasuki sebuah rumah banglo di Jalan Menggeris, Petra Jaya di sini, awal pagi semalam.

Insiden kira-kira jam 2.55 pagi itu disedari isteri ahli perniagaan apabila ternampak beberapa individu mencurigakan berada di bahagian garaj lalu memaklumkan perkara itu kepada suaminya.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, hasil siasatan mendapati empat lelaki yang memakai topeng muka telah memasuki kawasan rumah mangsa dan cuba menangkap penjaga rumah.

“Selepas dia (pemilik rumah) membuka tingkap dan menjerit minta pertolongan, keempat-empat suspek melarikan diri dan suspek-suspek tidak sempat memasuki rumah pengadu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tiga daripada suspek itu katanya, bersenjatakan tiga bilah parang manakala seorang lagi suspek membawa sebatang ‘crowbar’.

Tidak ada sebarang kecederaan mahupun kerugian dialami dalam kejadian tersebut.

Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan (Cubaan Rompak).

Dalam kes berasingan, Abang Ahmad memberitahu, sebuah Proton Gen2 yang dilaporkan hilang awal bulan ini berjaya ditemui di belakang bangunan McDonald berdekatan Jalan Padungan di sini.

Penemuan itu dibuat oleh unit polis peronda (MPV) yang menjalankan rondaan sekitar jam 11 malam Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksan, polis mendapati Proton Gen2 itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran asal adalah QKY 6379 yang dilaporkan hilang pada 7 September lalu,” katanya.

Kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA