JDT Juara Hatrik Liga Super


JOHOR BAHRU – Kelab Johor Darul Takzim (JDT) melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai Liga Super buat kali ketiga berturut-turut sejak 2014.

Skuad Harimau Selatan kendalian Mario Gomez itu mengesahkan kejuaraan liga musim ini, setelah menang selesa 3-0 ke atas pasukan tercorot, Terengganu di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos Larkin, malam tadi.

JDT sah bergelar juara dengan kutipan 52 mata, berkelebihan 10 mata ke atas pencabar terdekat, Felda United dengan baki dua perlawanan.

Lebih manis, ia merupakan kejuaraan kedua diraih JDT musim ini setelah muncul juara Piala FA menerusi kemenangan 2-1 ke atas wakil Liga Perdana, PKNS FC di Stadium Shah Alam, 14 Mei lepas.

Pada aksi di Larkin malam ini, pasukan tuan rumah berjaya mendahului pada minit ke-29 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz, sekali gus menceriakan lebih 24,000 penyokong skuad Harimau Selatan yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Pengadil memberikan sepakan penalti tersebut setelah pemain tuan rumah, S. Kunanlan dijatuhkan pemain pelawat Mohd Dhiyaul Rahman Hasry dalam kotak penalti.

JDT menambah gol kedua pada minit ke-82 hasil sepakan penalti kapten pasukan, Safiq Rahim setelah penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli menjatuhkan Diaz dalam kotak penalti.

Selang tiga minit kemudian, Diaz meledak gol peribadi kedua perlawanan setelah menyempurnakan hantaran pemain sayap, Azammuddin Mohd Akil.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT, turut berkenan menyaksikan perlawanan itu bersama isteri baginda, Che Puan Khaleeda Bustamam, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan barisan exco kerajaan negeri.

JDT akan menentang T-Team di Larkin pada 24 Sept, sebelum berdepan juara bertahan Piala Malaysia, Selangor pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Shah Alam, 22 Okt ini. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA