Jambatan Batang Sadong Beroperasi Sepenuhnya Oktober Depan


KUCHING: Jambatan Batang Sadong di Sadong Jaya akan beroperasi sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula Oktober depan.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri selepas meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut semalam.

“Pada masa ini jambatan ini sudah 99.5 peratus siap dan dijangka dapat dibuka pada 1 Oktober nanti,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, tiang-tiang lampu juga sudah dipasang di jambatan sepanjang 1.48 kilometer itu.

“Saya sangat berpuas hati dengan perkembangan pembinaan Jambatan Batang Sadong dan ini akan memberi manfaat kepada orang ramai terutama mereka yang menggunakan feri untuk menyeberangi sungai di sini sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah, majlis pembukaan rasmi jambatan tersebut juga akan dilakukan namun ia belum ditetapkan setakat ini.

Dengan siapnya jambatan bernilai RM211.3 juta itu, ia dijangka memendekkan perjalanan dari Kuching ke Sibu kira-kira dua setengah jam berbanding lapan jam perjalanan ketika ini.

Projek Jambatan Batang Sadong telah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011 dan pembinaannya telah bermula 5 Julai 2012. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA