Jabatan Agama Islam Sarawak Tentukan Status Halal Sosej Ayam 'Rose Brand'


KUCHING : Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Bahagian Veterinar, Jabatan Pertanian Sarawak akan bekerjasama untuk menentukan status halal produk sosej ayam jenama 'Rose Brand'.

JAIS berkata pihaknya beserta agensi penguat kuasa lain telah mengadakan pemeriksaan ke atas produk tersebut di Betong semalam.

"Pada label sosej jenama Rose Brand itu dikatakan ia dikeluarkan oleh Rose Poultry Vinderup, Denmark serta mempunyai logo halal daripada Pusat Kebudayaan Islam Denmark," kata JAIS dalam satu kenyataan.

Namun ia berkata semakan yang dilakukan ke atas lawan sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia mendapati nama syarikat tersebut tidak tersenarai dalam senarai Loji & Rumah Sembelih Yang Diiktiraf Di Luar Negara.

Pusat Islam tersebut turut tidak tersenarai dalam Portal Rasmi Halal Malaysia di bawah senarai Badan Persijilan Halal Luar Negara Yang Diiktiraf, katanya.

JAIS berkata pemilik premis berkenaan turut diminta mengemukakan bukti permit import dan sijil halal produk berkenaan untuk mengetahui status halal serta status kemasukannya ke Sarawak.
Oleh itu JAIS meminta pengguna agar berhati-hati dengan produk tersebut. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA