Isu Pinjaman Perumahan: Selesaikan Bukan Swing


SEJAK 2012 sesi Meja Bulat anjuran Pejabat Perdana Menteri kerap diadakan. Banyak tema dan isu diperkatakan. Paling berkemelut isu kos sara keluarga pasangan muda.

Malah, diburukkan lagi dengan isu protes pasangan muda yang sukar membeli rumah sekali pun setelah sepuluh tahun bekerja.

Banyak matematik dibentangkan. Dalam standard gaji pokok graduan mula bekerja sekitar RM2300 sebulan serta potensi kenaikan gaji antara lima hingga sepuluh peratus setahun, anak muda masih berdepan dengan dilema tidak mampu memiliki rumah.

Malah, sekiranya dengan pendapatan isi rumah RM8 ribu sebulan bersama pasangan, memiliki rumah selepas sepuluh tahun bekerja di bandaraya utama, masih satu mimpi ngeri.

Pada harga rumah kos sederhana rendah sekitar RM250 ribu hingga RM300 ribu dan dan tempoh pinjaman 25 tahun, ansuran sekitar RM1500 masih diperlukan sebagai bayaran bulanan.

Namun, mimpi ngeri bermula lebih awal. Membayar deposit sepuluh peratus wang muka bererti perlu ada RM25 ribu hingga RM30 ribu. Ini satu beban besar. Simpanan Akaun Dua KWSP tidak memungkinkan memiliki jumlah sebanyak itu sekali pun sepuluh tahun bekerja.

Beban bertambah dengan kos guaman dan insuran rumah sekitar tambahan RM20 ribu. Sekiranya kos ini dimasukkan dalam pinjaman, akan ada dua kemungkinan.

Pertama: Jumlah pinjaman makin tinggi dan makin sukar diluluskan bank.

Kedua: Sediakan tunai!. Ini lagi mustahil bagi pasangan muda mengumpul RM50 ribu bayaran sekali pun dicampur tabungan KWSP.

Isu kos sara hidup barangkali fleksibel dan masih boleh diusahakan secara survival. Penjimatan dengan amalan gaya hidup tanpa keraian dan percutian masih boleh dipaksakan sebagai disiplin. Anak muda rela berjimat cermat dengan kehilangan nilai-nilai moden yang dikaitkan sebagai sebahagian kualiti hidup.

Namun berjimat sampai tahap tidak berkeraian, tidak menikmati cuti pelancongan masih tidak memungkinkan tabungan peribadi dan KWSP mampu mengumpul RM50 ribu dalam tempoh sepuluh tahun.

Kerajaan barangkali menerima isyarat ini. Justeru, dilancarkan pakej perumahan mampu milik. Ini janji terbesar masalah perumahan. Malah, dibentangkan pada kempen PRU 13. Anak muda menerima isyarat jelas: Kerajaan memahami kepahitan hidup mereka.

Rumah mampu milik pun rancak didirikan. Pelbagai pakej projek dilaksanakan. Kena buat. Ini bukan janji kosong. Ini manifesto PRU.

Namun sekarang timbul masalah baharu. Rumah dibangunkan di sana-sini tetapi isunya: Bank hanya meluluskan 70 peratus pinjaman. Ini kerana bank bertegas dengan nisbah ekonomi berdasarkan gaji pembeli muda.

Akibatnya, bagi membeli rumah kos sederhana RM300 ribu, bayaran muka ialah RM90 ribu. Satu angka anak muda tidak mampu sediakan.

RM90 ribu? Dua puluh tahun bekerja pun, simpanan tidak akan terkumpul sebanyak itu.

Jadi isu rumah jadi macam peribahasa kain sejengkal. Tutup pusat nampak anu, tutup anu tersembul pusat. Tak payah ada kain kalau macam bertelanjang akhirnya!

Keadaan makin buruk apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar muncul dengan idea: Margin yang gagal disediakan bank boleh diberikan pemaju melalui pinjaman.

Pemaju diberi lesen kewangan untuk meminjamkan margin 20 peratus.

Inilah sejarah negara kita. Tidak ada sesiapa pun pernah terlintas dengan idea ini. Rakyat kena berhutang dua pinjaman untuk sebuah rumah!

Pinjaman bank faedah purata 4 peratus selama 15 ke 25 tahun, serta pinjaman 2 antara 12 peratus ke 18 peratus melalui pemaju?

Orang gila pun malas nak kira berapa hutang bulanan pasangan muda berpendapatan isi rumah RM8 ribu (pendapatan bersih RM5500) sekiranya membeli rumah RM300 ribu.

Ini idea atau bencana?

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani pun menolak idea ini.

Entahlah BN. Apakah pengajaran yang diperolehi berdasarkan undi protes pada PRU 13 lalu. Apa lagi yang perlu anak muda isyaratkan untuk membuka mata minda kerajaan?

Rumah mampu milik terus dibina. Belum pun anak muda dapat menikmatinya, kini datang khabar bencana.

Perdana Menteri pasti pening kepala! – Mynewshub.cc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA