Isu pelarian, Migran: Deklarasi New York Diterima



NEW YORK - Pemimpin dunia yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di sini Isnin menerima pakai 'Deklarasi New York bagi Pelarian dan Migran', menzahirkan kesungguhan politik untuk menangani isu-isu berkaitan membabitkan kumpulan itu dan berkongsi tanggungjawab bagi pergerakan lebih besar dalam skala global.

Presiden UNGA, Peter Thomson berkata beliau akan mengusulkan komitmen keahlian untuk memulakan proses yang membawa kepada inisiatif global mengenai migrasi serta menyokong inisiatif global ke atas pelarian.

Dengan mengguna pakai pengisytiharan itu, negara anggota membuat komitmen padu, termasuk memulakan rundingan yang membawa kepada persidangan antarabangsa dan penerimaan inisiatif global bagi peraturan tetap dan teratur mengenai keselamatan migrasi pada 2018.

Mereka juga membangunkan garis panduan mengenai rawatan bagi migran di kawasan terdedah bahaya.

Objektif lain adalah untuk mencapai perkongsian lebih saksama dalam memikul beban dan tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah dan menyokong pelarian dunia dengan menerima pakai inisiatif global mengenai pelarian dalam tempoh dua tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili Malaysia pada mesyuarat peringkat tinggi PBB mengenai isu menangani pemindahan besar-besaran pelarian dan migran, yang bertujuan bagi merangsang semua negara bertindak secara lebih berperikemanusiaan dan pendekatan yang selaras.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon juga melancarkan kempen baharu, 'Together - Respect, Safety dan Dignity for All' bagi mengatasi masalah kebangkitan xenophobia.

Pada hari Isnin juga, Ban dan Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) William Lacy Swing menandatangani perjanjian baharu yang membolehkan IOM menjadi organisasi berkaitan bagi PBB, dengan itu mengukuhkan pendekatan menyeluruh global mengenai migrasi. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA