Isu Lesen Eaglexpress Dan Rayani Air Berbeza


PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, lesen Eaglexpress dapat diperbaharui kerana syarikat penerbangan itu dilihat dapat meneruskan operasi sebagai entiti komersial dalam jangka panjang.

Jurucakap Mavcom berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti permohonan Eaglexpress untuk memperbaharui Permit Perkhidmatan Udara (ASP).

Katanya, setiap permohonan ASP akan disemak secara terperinci dan dinilai berdasarkan kriteria seperti pengalaman dan kecekapan pasukan pengurusan syarikat, potensi pelan perniagaan yang dicadangkan dan daya maju kewangan perniagaan.

"Setiap syarikat penerbangan berbeza dari segi pelan perniagaan dan keupayaan komersialnya. Keputusan untuk (meluluskan permohonan pembaharuan lesen) Eaglexpress adalah berdasarkan pandangan Mavcom bahawa ia boleh meneruskan sebagai entiti komersial dalam jangka panjang, sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan Mavcom," kata jurucakap itu dalam maklum balas menerusi emel kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertikaian Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) pada minggu lalu terhadap tindakan Mavcom yang begitu mudah memberikan lesen kepada Eaglexpress tanpa mengambil kira masalah yang dihadapi syarikat penerbangan itu, sehingga mengaitkannya dengan kes Rayani Air.

Difahamkan, salah satu perbezaan kedua-dua syarikat penerbangan itu - Eaglexpress merupakan syarikat penerbangan carter yang menjalankan perkhidmatan penerbangan tidak berjadual (tidak membuka tempahan tiket kepada umum), manakala Rayani Air adalah syarikat penerbangan komersial dengan perkhidmatan penerbangan berjadual (membuka tempahan tiket kepada umum lebih awal untuk penerbangan yang telah dijadualkan).

Menurut laman web Mavcom, Eaglexpress diberi ASP untuk tempoh setahun berkuat kuasa 1 September lalu. Bagaimanapun, status sama ada permit itu kekal atau sebaliknya akan diputuskan sebelum atau pada 30 November ini, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang dipatuhi syarikat berkenaan.

Bagaimanapun jurucakap Mavcom enggan mengulas ketika ditanya apakah 'syarat-syarat tertentu' tersebut.

Beliau berkata, setiap syarikat penerbangan berbeza dari segi pelan perniagaan dan operasi komersialnya, maka kemungkinan terdapat perbezaan syarat-syarat yang dikenakan ke atas syarikat penerbangan lain.

"Kita memproses setiap permohonan secara berasingan dan mengkaji serta menilainya berdasarkan beberapa kriteria," katanya.

Jurucakap Mavcom berkata, suruhanjaya itu berhak mengkaji semula status Eaglexpress sebagai pemegang ASP sekiranya syarikat penerbangan tersebut gagal mematuhi syarat-syarat tertentu mengikut tarikh yang ditetapkan.

"Sebagai panduan umum, mana-mana entiti yang ingin menjadi sebahagian dalam industri penerbangan seharusnya mempunyai kewangan yang kukuh dan mahir dalam operasi untuk memastikan kemampanan perniagaannya," katanya.

Selain ASP yang dikeluarkan Mavcom, Sijil Operator Udara (AOC) milik Eaglexpress turut diperbaharui Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Setiausaha Agung Nufam, Mohd Akram Osman dilaporkan berkata, pengeluaran lesen kepada syarikat penerbangan yang tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan merupakan isu yang serius.

“Mavcom dan DCA harus mengambil perhatian kepada masalah syarikat penerbangan ini dan jangan senang-senang memberikan lesen tanpa membuat penyelidikan. Kalau esok gulung tikar macam Rayani Air, siapa nak bertanggungjawab?” katanya.

Mengenai Rayani Air, Mavcom membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) milik syarikat penerbangan itu pada Jun lalu selepas mendapati syarikat itu melanggar syarat yang ditetapkan ASL, serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.

DCA turut membatalkan AOC milik Rayani Air, selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA