Isu Gambar Lucah, MIG Kumpul Bukti


KUALA LUMPUR : Metrowealth International Group (MIG) kini mengumpul bukti bagi mencari dalang di sebalik penyebaran gambar lucah yang didakwa menyerupai artis di bawah naungan syarikat itu, Atikah Suhaime dan seorang lagi pelakon, Idris Khan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Teo, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang berunsur penganiayaan kepada Atikah itu diharap bakal berdepan tindakan undang-undang.

"Saya bersimpati dengan nasibnya kerana perlu berdepan kembali kontroversi lama. Saya akan memastikan individu yang berhati busuk itu dikenakan tindakan sewajarnya.

"Buat masa ini ,saya dan pihak pengurusan MIG sedang mengumpulkan bukti bagi mencari siapa yang menjadi dalang. Isu terbabit sebelum ini pernah dikaitkan dengan Atikah, sekali gus menunjukkan ia seakan dirancang dan disengajakan bagi memusnahkan kerjaya seninya yang sedang meningkat.

"Tidak kira di mana saja individu itu berada, sama ada dalam atau di luar negara, dia perlu bertanggungjawab di atas tindakan tidak bermoral yang dilakukannya," tegas penerbit itu.

Sementara itu, David tidak menafikan kapsyen gambar di akaun Instagram miliknya semalam sebagai peringatan kepada penggiat seni supaya berjaga-jaga memilih kawan yang sama-sama berkecimpung dalam industri hiburan.

"Sebagai orang lama, saya hanya mampu memberi nasihat kepada artis di bawah pengurusan MIG. Tetapi sama ada kontroversi yang melanda Atikah benar atau tidak, dia tetap perlu berhati-hati dalam berkawan.

"Bagi saya, tiada istilah kawan dalam industri seni kerana ia lebih sesuai diklasifikasikan sebagai rakan sekerja. Ini kerana ada antaranya yang bersikap talam dua muka, malah sanggup melakukan apa saja demi mencipta nama," katanya.

Ditanya sama ada kontroversi ini akan membuatkan kontrak pelakon kelahiran Singapura itu dibatal atau ditamatkan, tegas David pihaknya masih bertimbang rasa dan menyiasat setiap perincian sebelum bertindak.

"Perkara ini pernah berlaku sebelum ini. Kami pasti Atikah dianiaya. Setakat ini, kami belum membincangkan isu kontrak, lagi pun dia masih bercuti sempena Raya Haji di Singapura. Benar atau tidak, setiap manusia tidak sempurna," ulasnya ringkas.

Terdahulu pada Ahad lalu, beberapa foto separuh bogel seorang lelaki dan wanita, yang masing-masing dikatakan mirip Idris serta Atikah tersebar di Internet selepas ia dipaparkan sebuah laman blog. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA