Isu 1MDB Tidak Akan Bawa Perubahan Besar Kepada Lanskap Ekonomi Malaysia


KUALA LUMPUR: Isu berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan membawa perubahan besar kepada landskap ekonomi Malaysia yang amat berdaya tahan ditambah dengan keyakinan kukuh pelabur terhadap negara ini, demikian lapor Global Risk Insights (GRI).

Menurut laporan itu saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakinan Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB tidak akan membawa kesan besar dari segi aliran masuk pelaburan dari Amerika Syarikat ke Malaysia.

"Meskipun sedikit kegusaran antara Malaysia dan Washington, kes itu tidak dijangka membawa kesan besar kepada pelaburan AS di Malaysia yang sentiasa dan akan kekal kukuh," demikian menurut artikel yang ditulis Alexander Macleod bertajuk :"Assessing the investment climate in post-1MDB Malaysia," (Menilai iklim pelaburan pasca-1MDB Malaysia) terbitan GRI.

Sebarang aliran keluar negatif yang berlaku akan diimbangi oleh China, yang - selepas dua syarikat China membeli aset 1MDB - telah memintas Jepun, Singapura dan AS sebagai pelabur terbesar Malaysia.

Bagi gambaran keseluruhan isu itu, laporan tersebut menyatakan, perlu ditekankan isu 1MDB berlaku serentak dengan kejatuhan harga tenaga dan minyak mentah global, menyebabkan pertumbuhan ekonomi Malaysia lembap.

Ia juga turut bertembung dengan kesuraman ekonomi global disebabkan ketidaktentuan pasaran saham berikutan ketidakstabilan sebelum, semasa dan selepas pungutan suara serta keputusan Britain untuk keluar dari pasaran tunggal Kesatuan Eropah.

"Apa yang pasti, ekonomi Malaysia terus berdaya tahan; seperti kejayaannya mengharungi Krisis Kewangan Asia 1997, ia dijangka pulih dari kedudukan sekarang," menurut laporan itu.

Selain daripada petunjuk ringgit mula meningkat, laporan Bank Dunia baru-baru ini mengunjurkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, pada 2017 -- dikukuhkan oleh komitmen teguh Malaysia terhadap perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Ekonomi Malaysia berkembang empat peratus pada suku kedua 2016 sekali gus merekodkan pertumbuhan separuh pertama pada 4.1 peratus. Prestasi itu diunjur berkembang antara empat dan 4.5 peratus bagi setahun penuh.

Kerajaan juga sudah menunjukkan pendekatan yang menumpukan aspek luaran seperti inisiatif galakan pelaburan termasuk Program Promosi Malaysia (MPP) yang melibatkan kerjasama strategik awam-swasta bagi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) serta perdagangan dengan hab kewangan utama global.

Menurut laporan itu, biarpun isu berkaitan 1MDB terus mendominasi tajuk utama, ia bukanlah penyebab impak atau perubahan besar dalam landskap ekonomi Malaysia.

Malah, Malaysia juga ternyata sudah mulai pulih daripada perkembangan tahun lepas yang menyaksikan pasaran saham terjejas, penyusutan nilai ringgit serta ketegangan politik yang ketara.
Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga berjaya mengatasi perpecahan dalaman dan mengukuhkan perpaduan parti ketika pihak asing cuba mencampuri urusan ekonomi serta politik negara ini.

"Para pelabur sebaliknya terus yakin dengan kerangka kerja pengawalseliaan Malaysia yang mantap manakala pasaran sahamnya sudah mula memaparkan kestabilan.

"Buat masa ini, Malaysia sekurang-kurangnya sudah melepasi kesan buruk politik dan ekonomi serta akan terus berusaha memperbaharui status sebagai pasaran pesat membangun yang menarik," katanya.

- Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA