'iPhone' Buatan Russia Akan Dikeluarkan 2018


MOSCOW: Russia bercadang memperkenalkan telefon pintar yang bakal setanding iPhone dari aspek kualiti tetapi pada harga jauh lebih murah berbanding peranti asli buatan Amerika Syarikat (AS) itu, kata Ketua Ruselectronics, Igor Kozlov, kepada pemberita.

Ruselectronics akan mengeluarkan 'iPhones' buatan Russia itu.

"Pada 2018, kami akan memiliki, iPhone domestik, yang berharga hanya sekitar AS$130 (RM867.21) seunit," kata Kozlov yang dipetik agensi berita rasmi Russia TASS.

Syarikat pegangan pelaburan Ruselectronics ditubuhkan pada awal 2009 berasaskan pegangan kerajaan yang menggunakan nama sama.

Ia adalah sebahagian daripada syarikat milik kerajaan Rostec.

Ruselectronics terbabit dalam bidang khusus seperti reka bentuk dan pengeluaran komponen elektronik, produk, bahan dan peralatan bagi sektor pembuatan, selain mengeluarkan peranti gelombang mikro dan peranti semikonduktor.

Syarikat itu menjana 15 peratus pendapatan daripada produk awam dan 85 peratus daripada produk ketenteraan.

Ketika ini ia dalam proses penstrukturan semula dan bercadang mengukuhkan jabatan pengeluaran produk awamnya.

Menjelang 2025, produk awam dijangka menyumbang 40 peratus kepada pendapatan syarikat itu. - TASS

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA