“Inilah Apa Yang Kita Katakan Pengecut” – TMJ


KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pencapaian baginda supaya bersemuka dengannya.

Titah baginda, mereka yang hanya berani melahirkan ketidakpuashatian mereka di internet disifatkan sebagai pengecut.

Baginda turut meminta pihak terbabit tidak melibatkan dan cuba melaga-lagakan penyokong bola sepak tanahair yang tidak ada kena mengena dan tidak bersalah.

“Ada sesetengah individu-individu pengecut yang hanya tahu menulis rasa ketidakpuashatian mereka di internet, tanpa bersemuka, tanpa mencari jalan penyelesaian atau sebarang inisiatif untuk menyelesaikan masalah.

“Jika anda tidak senang dengan saya atau pencapaian saya, selesaikan secara bersemuka. Inilah apa yang kita katakan pengecut dan saya berasa simpati dengan penyakit mereka ini ” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaimanapun tidak mengulas tentang isu yang dibangkitkan oleh pihak yang tidak berpuas hati terbabit.

Tunku Ismail bertitah, baginda akan bertindak `gentleman’ dengan menyuarakan pendapat dan kemudian akan bertemu secara berhadapan jika mempunyai masalah dengan mana-mana pihak. – mynewshub.cc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA