Indonesia patahkan rangkaian pelacuran budak lelaki


JAKARTA: Polis Indonesia berjaya mematahkan satu rangkaian pelacuran lelaki dalam talian hari ini dan mengenal pasti hampir 150 lelaki muda dan kanak-kanak termasuk seawal usia 13 tahun, menawarkan perkhidmatan seks.

Tiada statistik membabitkan jenayah seksual di Indonesia namun kerajaan republik itu berkata, ia berdepan darurat penderaan seksual kanak-kanak.

Presiden Joko Widodo baru-baru ini menandatangani satu peraturan membolehkan hukuman lebih keras terhadap pencabul dan perogol kanak-kanak, termasuk pemandulan kimia dan hukuman mati.

Ketua Siasatan Jenayah Polis, Agung Setya, berkata kebanyakan daripada sejumlah 148 individu yang menawarkan perkhidmatan itu di bawah umur dengan paling muda berusia 13 tahun manakala paling tua 23 tahun.

"Kami mengenal pasti 148 lagi mangsa dan seramai 45 daripadanya adalah budak lelaki," katanya dipetik akhbar harian tempatan, Kompas.

Katanya, sekurang-kurangnya tujuh mangsa diberi perkhidmatan kaunseling kerajaan dan dihantar ke pusat pemulihan.

Polis berkata, tiga lelaki ditahan minggu lalu dalam kaitan dengan kes itu termasuk seorang 'bapa ayam' dan seorang pelanggan dipercayai warga asing, walaupun tiada butiran lanjut. - Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA