Indonesia Keluar Fatwa Haram Berhubung Pembakaran Hutan


JAKARTA: Badan ulama terkemuka Indonesia mengeluarkan fatwa menghalang perbuatan memulakan kebakaran hutan dengan sengaja dalam usaha menghentikan jerebu yang menyelubungi Asia Tenggara setiap tahun.

Fatwa yang dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyatakan adalah 'haram' bagi umat Islam memulakan kebakaran dengan sengaja di hutan dan ladang penanaman.

"al-Quran menyatakan kita tidak dibenarkan merosakkan alam sekitar dan pembakaran hutan boleh menyebabkan kerosakan bukan saja kepada alam sekitar tetapi juga kesihatan manusia, malah negara jiran juga merungut," kata Ketua Majlis Fatwa badan itu, Huzaemah Tahido Yanggo.

Pembakaran hutan menjadi pilihan untuk membersihkan ladang kelapa sawit kerana ia murah dan cepat. Kebakaran tahun lalu antara paling buruk menyebabkan jerebu menyelubungi sebahagian besar Indonesia, Malaysia dan Singapura selama beberapa minggu.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar, menyambut baik fatwa itu dan berharap pendakwah Islam akan menyebarkan berita itu kepada masyarakat tempatan.

"Susulan paling penting adalah berkomunikasi dengan penduduk awam," katanya.

Majlis berkenaan sebelum ini mengeluarkan fatwa melindungi alam sekitar, termasuk mengharamkan pemburuan dan perdagangan haiwan terancam, tindakan yang pertama di dunia. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA