Iesya Toh Ikut Petua Melayu, Perlu Rahsiakan Kehamilan


Pengacara program Selamat Pagi Malaysia (SPM), Iesya Toh yang kini hamil tujuh bulan tidak berniat untuk menyorok berita kehamilannya daripada pengetahuan umum.

Iesya atau nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 33, sebaliknya berkata, dia tidak mendedahkan perkara itu kerana mengikut amalan dan petua orang Melayu yang tidak menggalakkan kehamilan diheboh-hebohkan.

"Saya tiada sebab tertentu pun hendak menyorokkan berita kehamilan cuma sekadar mengikut adat Melayu kita sahaja.

"Tambahan pula perut saya juga tidak terlalu besar jadi tiada pula yang bertanya dan saya pun tidak pula memberitahu secara terbuka," katanya kepada mStar Online.

Pengacara itu ditemui pada majlis pelancaran payung yang diberi nama Payung Padi di Menara Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Iesya dan suami, Huzairee Muhamad, 35, berkahwin pada 29 Mei tahun lalu dalam satu majlis yang diadakan di Angkasapuri Kuala Lumpur.

Pasangan ini dijangka menimang cahaya mata lelaki pada akhir November depan.

Dalam pada itu, Iesya mendedahkan keguguran yang dialaminya pada akhir tahun lalu juga menyebabkan dia lebih berhati-hati dengan kehamilan keduanya itu.

Bercerita lanjut tentang keguguran itu, Iesya berkata, ketika itu dia tidak menyedari sedang hamil dan keguguran berlaku selepas dia melakukan aktiviti 'rock climbing'.

"Ketika itu kandungan tidak sampai sebulan dan saya pun tidak sedar sedang hamil.

"Saya pula orangnya sangat aktif dan ketika kejadian saya sedang melakukan aktiviti sukan dan selepas turun saya sedar berlaku pendarahan," katanya.

Bercerita tentang kehamilannya, Iesya berkata, dia tidak mengalami sebarang alahan teruk namun mengakui tiba-tiba menggemari buah durian.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA