Hubungan Malaysia - Laos Semakin Kukuh

Foto Utusan Malaysia
VIENTIANE: Hubungan dua hala di antara Malaysia dan Laos yang dibentuk sejak 50 tahun lalu kini berada pada tahap amat menggalakkan, kata Duta Besar Malaysia ke Laos, Datuk Than Tai Hing.

Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 dilihat sebagai kehadiran simbolik dan penting kepada ulang tahun ke-50 Jalinan Hubungan Diplomatik antara Kuala Lumpur dan Vientiane yang diraikan 1 Julai lalu.

Katanya, sepanjang tempoh itu, hubungan dan kerjasama yang berlandaskan persahabatan akrab dan prinsip saling menghormati menunjukkan persefahaman yang amat baik antara kedua-dua negara, sekali gus menyumbang ke arah pengukuhan semangat Komuniti ASEAN dan Solidariti ASEAN.

"Hubungan dua hala ini kini diperkukuhkan, terutama dengan pengenalan penerbangan terus AirAsia dari Kuala Lumpur ke Vientiane sejak 2007. Ini meningkatkan industri pelancongan dua hala yang memberi kesan tujuh kali ganda dari segi rangsangan kepada kerjasama ekonomi dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya pada sidang media, lewat malam tadi.

AirAsia akan melancarkan penerbangan sulung ke Luang Prabang pada hujung tahun ini. Luang Prabang adalah sebuah daerah yang mendapat pengiktirafan sebagai Bandar Warisan UNESCO seperti Melaka di Malaysia.

Tai Hing berkata, tahun lalu perdagangan dua hala antara Malaysia dan Laos berjumlah AS$26.1 juta (RM106 juta), peningkatan lapan peratus berbanding AS$24.17 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, eksport Malaysia ke Laos berjumlah AS$24.8 juta (RM100 juta) yang meliputi pakaian dan tekstil, alat ganti kenderaan, bahan galian, barangan elektrik dan elektrikal, bahan kimia, getah asli, minyak sawit dan barang pembuatan.

Import Malaysia pula hanya mencatatkan sebanyak AS$1.3 juta (RM5 juta) yang sebahagian besarnya meliputi peralatan komunikasi dan komponen elektrik.

"Dari tahun 2000 hingga 2015, jumlah pelaburan Malaysia di Laos dianggarkan berjumlah AS$569 juta (RM2.3 bilion). Ini menjadikan Malaysia sebagai pelabur asing kelapan terbesar di Laos berbanding ke-10 pada 2010," katanya.

Katanya, bagi memperkasakan lagi hubungan diplomatik Malaysia dan Laos, beliau akan terus mempergiatkan aktiviti memperingati Ulang Tahun Jubli Emas yang sudah dan bakal dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di Laos. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA