Harap Bajet 2017 Pacu Ekonomi Digital



KUALA LUMPUR - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berharap Bajet 2017 akan membantu agensi memacu ekonomi digital, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood.

Beliau berkata, dua inisiatif MDEC iaitu e-Rezeki dan e–Usahawan semakin mendapat perhatian daripada golongan berpendapatan rendah terutamanya surirumah, pelajar dan belia, yang menyediakan peluang meningkatkan pendapatan mereka.

Tahun lepas, MDEC menerima peruntukan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang menjalankan perniagaan, melalui platform dalam talian.


"Bidang ini dilaksanakan dengan jayanya sejak beberapa tahun lepas, iaitu meningkatkan ekonomi digital dan memberikan impak yang baik kepada rakyat," kata Yasmin kepada pemberita selepas pelancaran BIGIT Technology Malaysia 2016, acara utama sempena 'Big Data Week Asia 2016', di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai sebuah agensi bertanggungjawab terhadap pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia, MDEC, yang ditubuhkan 20 tahun lepas, menyasar untuk berkembang dan berubah untuk berada di hadapan serta memanfaatkan sepenuhnya inovasi digital.

Semasa ditanya sama ada MDEC akan mendapat peruntukan yang lebih rendah disebabkan oleh pengurangan hasil kerajaan setelah harga minyak jatuh, beliau berkata MDEC akan lebih efisien dan kreatif.

"Kami akan mengadakan lebih banyak perkongsian dengan syarikat swasta untuk bersama-sama membuat perubahan dalam ekonomi digital," katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA