Harap Bajet 2017 Lebih Titikberatkan Pembangunan Sekolah Pesisir



MIRI : Pembentangan Bajet 2017 pada tarikh 21 Oktober ini diharapa akan lebih menitikberatkan pembangunan sekolah-sekolah yang berada di kawasan pesisir.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata, terdapat banyak sekolah di pesisir yang masih belum mempunyai keperluan yang mencukupi dan kelihatan uzur serta perlu diberi perhatian oleh kerajaan agar sekolah tersebut dibaik pulih ataupun dibina semula.

"Kita merasa sedih masih terdapat sekolah yang tiada bekalan air dan elektrik serta struktur bangunan sekolah yang sudah terlalu uzur untuk digunakan.

"Oleh itu Bajet 2017 kali diharap lebih menekankan pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah yang berkaitan, kuaters guru dan sebagainya agar ia kelihatan lebih moden," katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan dua puluh lima peratus sekolah di kawasan beliau masih lagi tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi serta tiada bekalan elektrik dan air untuk kemudahan pelajar dan tenaga pengajar.

"Saya menyokong dasar pembangunan luar bandar Perdana Menteri dan Ketua Menteri,"

"Jika pembangunan luar bandar menjadi agenda utama maka pembangunan tersebut haruslah melibatkan pembangunan sekolah-sekolah pesisir sekaligus," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berharap kerajaan akan lebih peka dan memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan sekolah persisir. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA