Guna Kanak-kanak Elak Ditangkap Edar Dadah



KOTA KINABALU - Dua kanak-kanak dipercayai dipergunakan tiga pengedar dadah sebagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa daripada menahan mereka bersama 503.56 gram dadah jenis syabu bernilai RM65,000.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam tadi di Plaza University di Jalan UMS dekat sini ketika ketiga-tiga lelaki itu hendak bertemu pelanggan untuk menjual dadah.

"Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah membuat pemerhatian di tempat letak kereta plaza tersebut dan mendapati dua lelaki turun dari sebuah kereta Perodua Viva.

"Semasa pemandu kereta membuat pusingan di plaza berkenaan untuk mengambil semula dua lelaki itu, dia (pemandu) telah ditahan dan didapati di dalam kereta itu ada dua kanak-kanak.

"Kita percaya ini adalah taktik suspek membawa kanak-kanak bersama untuk mengaburi pihak berkuasa seolah-olah kereta itu adalah kereta keluarga," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurut Chandra, kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 3 tahun itu, yang dipercayai anak pemandu berumur 33 tahun, kini dalam penjagaan polis.

Beliau berkata pemandu itu bekerja sebagai buruh kontraktor, manakala dua lelaki lain masing-masing berumur 38 dan 33 tahun tidak bekerja.

Katanya, pemandu itu pernah ditahan kerana mengambil dadah, manakala suspek berumur 38 tahun itu pernah ditahan kerana memiliki dadah.

Chandra tidak menolak kemungkinan suspek, yang kesemuanya berasal dari Sepanggar dekat sini, terlibat dengan satu sindiket dadah yang aktif di sekitar Kota Kinabalu sejak sebulan lalu.

Beliau juga berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Chandra berkata polis telah menahan 11 kereta dan sebuah motosikal yang terlibat dengan perlumbaan haram di Jalan Lintas dan jalan berhampiran pusat membeli-belah Imago di sini dalam Operasi Samseng Jalanan pada 25 September lepas.

Katanya, tiga lelaki ditahan kerana memandu secara melulu, yang juga dipercayai terlibat dengan perlumbaan haram di Jalan Lintas melibatkan laluan sepanjang kira-kira 3km.

"Seorang lelaki ditahan kerana dipengaruhi alkohol dan tiga lelaki pula ditahan kerana didapati ada waran tangkapan dikeluarkan terhadap mereka," katanya.

Chandra memberi amaran keras kepada masyarakat supaya tidak terlibat dengan perlumbaan haram kerana kegiatan itu membawa implikasi buruk kepada keselamatan pemandu dan orang awam di sekitar serta gangguan bunyi bising.

"Perlumbaan haram juga menggalakkan perjudian serta budaya samseng yang kita mahu elakkan," tambahnya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA