Guna Kanak-Kanak Edar Dadah Untuk Elak Ditangkap


KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak dipercayai dipergunakan
tiga pengedar dadah sebagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa daripada
menahan mereka bersama 503.56 gram dadah jenis syabu bernilai RM65,000.

Ketua Polis Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kejadian itu berlaku
kira-kira pukul 7.30 malam tadi di Plaza University di Jalan UMS dekat sini
ketika ketiga-tiga lelaki itu hendak bertemu pelanggan untuk menjual dadah.

"Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah membuat pemerhatian di tempat letak kereta
plaza tersebut dan mendapati dua lelaki turun dari sebuah kereta Perodua Viva.

"Semasa pemandu kereta membuat pusingan di plaza berkenaan untuk mengambil
semula dua lelaki itu, dia (pemandu) telah ditahan dan didapati di dalam kereta
itu ada dua kanak-kanak.

"Kita percaya ini adalah taktik suspek membawa kanak-kanak bersama untuk
mengaburi pihak berkuasa seolah-olah kereta itu adalah kereta keluarga," katanya
kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurut Chandra, kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun dan kanak-kanak
perempuan berumur 3 tahun itu, yang dipercayai anak pemandu berumur 33 tahun,
kini dalam penjagaan polis.

Beliau berkata pemandu itu bekerja sebagai buruh kontraktor, manakala dua
lelaki lain masing-masing berumur 38 dan 33 tahun tidak bekerja.

Katanya, pemandu itu pernah ditahan kerana mengambil dadah, manakala suspek
berumur 38 tahun itu pernah ditahan kerana memiliki dadah.

Chandra tidak menolak kemungkinan suspek, yang kesemuanya berasal dari
Sepanggar dekat sini, terlibat dengan satu sindiket dadah yang aktif di sekitar
Kota Kinabalu sejak sebulan lalu.

Beliau juga berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah
Berbahaya yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Chandra berkata polis telah menahan 11 kereta dan
sebuah motosikal yang terlibat dengan perlumbaan haram di Jalan Lintas dan jalan
berhampiran pusat membeli-belah Imago di sini dalam Operasi Samseng Jalanan pada
25 Sept lepas.

Katanya, tiga lelaki ditahan kerana memandu secara melulu, yang juga
dipercayai terlibat dengan perlumbaan haram di Jalan Lintas melibatkan laluan
sepanjang kira-kira 3km.

"Seorang lelaki ditahan kerana dipengaruhi alkohol dan tiga lelaki pula
ditahan kerana didapati ada waran tangkapan dikeluarkan terhadap mereka,"
katanya.

Chandra memberi amaran keras kepada masyarakat supaya tidak terlibat dengan
perlumbaan haram kerana kegiatan itu membawa implikasi buruk kepada keselamatan
pemandu dan orang awam di sekitar serta gangguan bunyi bising.

"Perlumbaan haram juga menggalakkan perjudian serta budaya samseng yang kita
mahu elakkan," tambahnya.-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA