Graduan Perlu Berfikir Kreatif


KUCHING: Kerajaan komited untuk mentransformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan graduan berfikiran kreatif dan kritikal bagi memenuhi permintaan tenaga kerja industri.

Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan Datu Len Talif Salleh berkata, ia antara usaha kerajaan untuk mengubah landskap eknomi negara kepada berpendapatan tinggi.

Malah menurutnya, amat penting untuk pelajar dibekalkan dengan kemahiran supaya dapat menjadi pekerja teknikal pada masa akan datang.

"Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sahaja memerlukan tenaga kerja 1.6 juta orang menjelang tahun 2030.

"Ia mendorong kerajaan mengutamakan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya pada Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan 2016 (NRICon 2016) di sini, hari ini.

Malah katanya, kekuatan Politeknik yang berperanan melahirkan pekerja teknikal banyak bergantung kepada kepimpinan tenaga pengajarnya selain penyelidikan.

"Pengalaman, kepakaran dan kesungguhan mereka akan menentukan kecemerlangan dan reputasi institusi ini," ujarnya.

Beliau berkata, ahli akademik sekarang perlu menjalankan penyelidikan untuk mencari penemuan atau ilmu baharu agar konsep pengajaran dapat ditingkatkan pada tahap lebih tinggi.

"Saya percaya persidangan ini dapat memberikan peluang terbaik bukan sahaja perkongsian idea dan ilmu tetapi membina hubungan baik antara politeknik dan institusi lain," jelasnya. -Sarawakiana.










No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA