Goh Liu Ying Dapat Lot Tanah Premium


AYER KEROH: Kerajaan Melaka menawarkan sebidang lot tanah dengan bayaran premium kepada Goh Liu Ying susulan pencapaian meraih pingat perak pada perlawanan akhir beregu campuran badminton Olimpik Rio 2016, dua minggu lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata tawaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 464 hingga 929 meter persegi sama ada di Semujuk, Jasin atau Durian Tunggal, Alor Gajah.

"Kita beri kebenaran dan akan meluluskan pemilikan tanah lot yang dibahagikan oleh kerajaan kepada pegawai kerajaan jika Liu Ying memohon.

"Selepas memilikinya (tanah), beliau boleh membina rumah. Keistimewaan ini diberi kepada Liu Ying kerana kesungguhannya sebagai anak jati Melaka membawa pulang pingat yang menjadi rebutan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Idris berkata demikian pada program sarapan khas bersama pemain badminton negara itu di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Seri Bendahara.

Yang turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Fadilah Abdullah serta ibu bapa Liu Ying, Goh Chak Whee, 59, dan isteri, Yong Ooi Lin, 53, bersama adik pemain negara itu, Goh Qi Liang, 25.

Idris berkata, Liu Ying dan pasangan beregunya, Chang Peng Soon turut menerima ganjaran RM50,000 daripada kerajaan negeri. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA