Godam Sistem JPN, Kerani Didakwa Rasuah


AYER KEROH: Seorang kerani Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini atas 20 pertuduhan menggodam sistem maklumat jabatan itu dan menerima suapan RM44,000, antara tahun 2014 hingga Mac lalu.

Tertuduh, Ahmad Zakri Raman, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh dan Majistret Norina Maludin selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan satu hingga sembilan, tertuduh didakwa mengubahsuai status kewarganegaraan 19 individu melalui Sistem Informasi Rekod Penduduk Negara (Siren) menggunakan kata laluan MMUSLIHA, SABUNOH dan MAZNIM di Pejabat Bahagian Kewarganegaraan, Perkahwinan dan Penceraian JPN Melaka, di sini, antara 24 Disember 2014 hingga 27 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 59(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ke-10 hingga 20, Ahmad Zakri didakwa menerima suapan RM44,000 daripada seorang individu bagi pihak Dumalah Ab Samid, Abdul Salah Sarikala, Abd Rahman Sarail, Ibrahim Bakri, Abdullah Jumdail, Ab Sarip Sappalando, Elmy Asmar Ruminggo, Binhar Salleh, Bensar Jacson, Anisa Ahiyat dan Anwar Julkipli.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah, di sini, sekitar 1 Ogos 2015 hingga 27 Mac lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashraf Abdul Hamid yang menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan pertama hingga sembilan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban pula menawarkan RM8,000 bagi pertuduhan ke-10 hingga 20. Tertuduh diwakili peguambela, Haslinda Abu Bakar.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama hingga sembilan, manakala RM1,500 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan ke-10 hingga 20 oleh Norina.

Mahkamah juga menetapkan 12 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA