‘Goat Yoga’ Popular Dalam Kalangan Warga AS


PELBAGAI cara yang dilakukan oleh manusia untuk mencari ketenangan minda dengan salah satunya ialah melakukan aktiviti yoga.

Bagaimanpun, sebuah kelas yoga yang terletak di Oregon, Amerika Syarikat menawarkan yoga unik apabila dilakukan di ladang ternakan kambing.

Menurut laman antarabangsa iaitu Oddity Central, sesi yoga di No Regrets Farm, para peserta yoga akan melakukan aktiviti berkenaan ditemani oleh sekumpulan kambing.

Kegiatan yang diberi nama ‘goat yoga‘ itu dimulakan oleh Lainey Morse, pemilik ladang berkenaan yang merupakan bekas jurugambar.

Difahamkan idea itu tercetus apabila seorang tetamu yang hadir di salah satu pesta ulang tahun di ladang tersebut melahirkan hasrat untuk membuka kelas yoga di sana.

Maka, tercetuslah idea mengadakan kelas ‘goat yoga‘. Ternyata idea itu mendapat sambutan daripada warga tempatan.

Kelas-kelas yang diadakan sentiasa penuh malah ada dalam kalangan peserta yang sanggup membayar yuran lebih tinggi semata-mata untuk turut serta dalam aktiviti berkenaan.

Keadaan tenang, ditambah pula dengan udara yang segar dan kambing-kambing yang comel terbukti berhasil membuatkan ‘goat yoga’ popular.

“Kambing-kambing saya adalah haiwan-haiwan yang sangat cinta kepada kedamaian dan semua orang yang datang ke sini menjadi bebas tekanan dan bahagia,” kata Morse.

Sambutan yang menggalakan daripada warga tempatan menyebabkan Morse terpaksa menambah dua lagi sesi yoga yang diadakan pada bulan ini iaitu pada 10 dan 24 September. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA