FAM, Jangan Sibuk Cari Penyebar Maklumat


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menempelak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana sibuk mencari dalang penyebar maklumat dalam pendrive yang diserahkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, persatuan itu bukan sepatutnya memburu individu yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat berkenaan, sebaliknya mendedahkan apa kandungannya untuk dinilai sendiri oleh peminat bola sepak negara.

"Sudah pasti yang penting adalah isi kandungannya sebab dari segi keutamaan, saya percaya peminat bola sepak tak nak dengar sangat daripada FAM mengenai siapa membocorkan maklumat itu.

"Perkara lebih penting adalah isi kandungan pendrive berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Kyoto-ASEAN bertajuk 'Jendela untuk ASEAN: Antarabangsa dan Inovatif', di sini hari ini.

FAM sebelum ini dihujani pelbagai kritikan apabila badan induk bola sepak negara itu ingin menyiasat dalang penyebar maklumat dalam pendrive berkenaan.

Isu membabitkan pendrive bermula pada 18 Julai lalu apabila Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), mendakwa mempunyai bukti mengenai salah laku dalam FAM.

Pendrive itu diserahkan kepada Khairy pada 2 September sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegagan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kemudian mengesahkan maklumat terbabit tiada kaitan dengan unsur rasuah dan penyelewengan. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA