Fahami Perbezaan Sejarah Kemerdekaan Sarawak, Malaysia

Foto Utusan Borneo
KUCHING: Perbezaan antara sejarah penubuhan dan kemerdekaan Sarawak dengan Malaysia harus difahami sepenuhnya oleh anak-anak negeri ini khususnya generasi muda masa kini.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pengetahuan tersebut sangat penting bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai sejarah tersebut.

“Di Sarawak, ia mempunyai sejarah yang berlainan dengan Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Maka adalah penting untuk ia difahami terutama oleh generasi muda kita dan pengetahuan mengenai sejarah ini harus didedahkan kepada anak-anak kita bermula di sekolah rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan di tebingan sungai BGS, Kampung Sourabaya Ulu di sini semalam.

Menjelas lanjut, Dr Abdul Rahman berkata sejarah Sarawak yang harus diingat oleh rakyat negeri ini ialah tarikh 22 Julai 1963 dan 16 September 1963 selain 31 Ogos 1957.

Katanya, 22 Julai yang telah diisytiharkan sebagai cuti umum Hari Sarawak merupakan tarikh penting bagi Sarawak yang menandakan negeri ini bebas daripada penjajahan British.

Manakala, katanya pada 16 September iaitu Hari Malaysia adalah untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura.

Bagaimanapun, beliau menambah 31 Ogos atau Hari Kebangsaan ini juga harus dilihat penting oleh rakyat Sarawak dengan bersama-sama meraikannya demi terus memelihara kemakmuran, keharmonian dan perpaduan negara.

Sementara, Majlis Sambutan Hari Kebangsaan di tebingan sungai BGS telah disertai hampir 200 murid daripada tiga sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik, SK Pulo dan SK Matu Baru.

Pada majlis tersebut, Dr Abdul Rahman bersama para pelajar yang terlibat termasuk para guru daripada tiga sekolah tersebut dan orang ramai telah mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA