ESSCOM Tahan 22 PATI, Rampas 14 Bot Pam



LAHAD DATU: Pasukan Keselamatan diterajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas 14 bot pam dalam operasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sepanjang minggu ini.

Turut dirampas ialah 21.46 gram dadah jenis syabu dan pelbagai barang bersubsidi bernilai RM53,962 dengan tumpuan operasi di perairan dan daratan daerah ini, Semporna, Sandakan dan Kudat yang disyaki menjadi laluan penyeludupan serta kemasukan PATI.

Komander ESSCOM, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata semua PATI berumur 11 hingga 59 itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dokumentasi sebelum dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan dan Tawau.

Katanya, barangan bersubsidi yang dirampas seperti petrol, tong gas, minyak masak dan tepung gandum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya.

"Kejayaan ini adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan melalui kerjasama semua pasukan keselamatan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang diterajui ESSCOM.

"Kita akan memberi tumpuan di beberapa kawasan disyaki menjadi laluan dan lokasi panas PATI serta kegiatan penyeludupan di seluruh ESSZONE bagi memastikan kebanjiran warga asing dan kegiatan jenayah rentas sempadan ditangani dengan berkesan," katanya di sini, hari ini.

Wan Abdul Bari berkata, semua kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 Seksyen 6(1) (c), Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA