Dunia Perlu Serius Isu Senjata Pemusnah


KUALA LUMPUR: Malaysia berpendirian tegas bahawa masyarakat antarabangsa perlu serius menangani isu berkaitan senjata pemusnah besar-besaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya senjata pemusnah itu jatuh ke tangan militan Daesh atau mana-mana kumpulan ekstremis, ia akan menimbulkan masalah.

"Jika senjata pemusnah ini bukan sahaja jatuh pada kumpulan Daesh dan jatuh juga kepada kumpulan ekstremis yang lain saya khuatir bukan sesebuah negara sahaja hadapi masalah, malah benua tertentu akan turut musnah," katanya dalam 'Program Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri' yang disiarkan di TV1, RTM, malam tadi.

Program setengah jam itu dihoskan pengacara, Sayed Munawar Sayed Mustar.

Menurut Ahmad Zahid, bulan lepas beliau diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempengerusikan Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pengeluaran Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD) di ibu pejabat PBB.

Beliau berkata sebanyak 53 negara terlibat pada sesi perbahasan itu yang disertai 60 pendebat dan pembentang kertas kerja daripada wakil-wakil negara dan pakar-pakar dalam bidang senjata.

Beliau berkata beberapa tokoh yang pakar dalam tajuk WMB, iaitu wakil dari universiti, institut kajian antarabangsa menyatakan kebimbangan timbulnya banyak implikasi buruk sekiranya Resolusi 1540 tidak dilaksanakan.

Resolusi 1540 diterima sebulat suara pada 28 April, 2004, menetapkan obligasi di bawah Bab VII Piagam untuk semua negara anggota bagi membangunkan dan menguatkuasakan langkah-langkah sesuai dan berkesan terhadap percambahan senjata kimia, biologi, radiologi dan nuklear serta kaedah penghantaran, khususnya untuk mengelak penyebaran senjata pemusnah besar-besaran itu kepada pelaku bukan negara. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA