Dua 'Geng Honda' Miri Mengaku Tidak Bersalah


MIRI: Dua anggota ‘Geng Honda’ masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan menyimpan sebuah motosikal curi.

Abang Kamsri Abang Suanie, 33, dan Matono Manap, 48, kedua-duanya dari Kampung Pulau Melayu di sini didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh dengan curang menerima atau menyimpan sebuah motosikal curi jenis Suzuki berwarna biru dengan plat pendaftaran palsu QMB8250 kepunyaan Yong Shau Ee.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang, 15 September lalu di lampu isyarat jalan utama menghala ke Lutong.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan kedua-dua tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Majistret Lovely Natasha Charles membenarkan permohonan itu dan menetapkan 28 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA