DRB-HICOM hadiah kereta kepada pemenang pingat Rio 2016


SUBANG JAYA: Pemenang pingat Olimpik Rio 2016 terus mendapat habuan hasil kejayaan mereka mengharumkan nama Malaysia pada temasya berprestij dunia itu.

Kali ini, semua pemenang perak dan gangsa kontinjen negara dihadiahkan sebuah kereta setiap seorang oleh DRB-HICOM dalam satu majlis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sebentar tadi.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.

Menerusi anak syarikatnya, Proton Holdings Berhad menghadiahkan lapan kereta kepada atlet negara diketuai jaguh perseorangan badminton, Datuk Lee Chong Wei yang menerima Perdana 2.4 liter yang bernilai RM138,888.

Pemenang pingat perak yang lain iaitu beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong; beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan pasangan terjun, Pendelela Rinong-Cheong Jun Hoong dihadiahkan dengan kereta model Suprima S Turbo 1.6 liter bernilai RM80,350 setiap satu.

Sementara itu, jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang yang meraih gangsa dalam acara keirin menerima Persona Premium 1.6 liter.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA