Doktor Sahkan Hillary Sihat Daripada Pneumonia


WASHINGTON: Doktor yang merawat calon presiden Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton semalam mengesahkan wanita itu “sihat untuk berkhidmat”, sehari sebelum kembali merebut jawatan tertinggi di Rumah Putih selepas diserang pneumonia beberapa hari lalu.

Pendedahan itu dibuat selepas pesaingnya daripada Republican, Donald Trump mendedahkan data kesihatannya yang terbaru menerusi siaran media semalam.

Kedua-dua calon, antara individu tertua pernah menjadi calon presiden, didesak berkongsi maklumat kesihatan selepas Hillary jatuh sakit ketika upacara memperingati kejadian 9/11 di New York pada Ahad hingga menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan majlis.

Isu kesihatan mendominasi kempen sejak akhir-akhir ini, mengetepikan soalan lain seperti dana yayasan Trump yang kini disiasat di New York – dalam tempoh kurang 2 minggu sebelum calon memasuki fasa perdebatan pertama.

Dalam laporan kesihatan 2 muka surat dikeluarkan doktor Dr Lisa Bardack, Hillary, 68, beransur pulih daripada pneumonia yang “sederhana, tidak berjangkit”.

Hillary juga “sembuh dengan baik dan diberikan antibiotik serta rehat” selepas bercuti sepanjang hujung minggu lalu selepas keletihan dan demam, kata doktor itu.

Calon Demokrat untuk Rumah Putih itu, katanya “kekal sihat dan mampu untuk berkhidmat sebagai presiden AS” dan berada dalam “keadaan mental yang cemerlang”.

Ketika Hillary lemah dan dimasukkan ke kenderaan perkhidmatan rahsia pada hari berkenaan, doktor peribadinya terpaksa mengambil masa beberapa jam untuk mendedahkan yang Hillary diserang pneumonia, menyebabkan ramai mempersoalkan tentang ketelusan kempennya.

Hillary berada di rumahnya di Chappaqua, New York sepanjang 3 hari berturut-turut, berehat untuk sembuh kerana bimbang tahap kesihatannya akan menjejaskan peluangnya menjadi presiden AS wanita yang pertama.

Berita mengenai Trump tampil dalam rancangan The Dr Oz Show mendapat liputan meluas media meskipun hanya mendedahkan sedikit saja data kesihatannya.

Setakat ini, calon berusia 70 tahun itu hanya mendedahkan 4 perenggan mengenai keadaan kesihatannya yang ditulis doktornya Harold Bornstein pada Disember 2015.

Susulan pendedahan penyakit pneumonia dihidapi Hillary, Trump kemudian berkata akan mendedahkan butiran terperinci kesihatannya menerusi pemeriksaan terkini dengan Dr Bornstein. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA