Doakan Kejayaan Kontinjen Paralimpik



Kontinjen negara ke Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil meminta agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaan mereka dalam usaha memburu emas pertama di temasya berprestij itu.

Atlet lontar peluru, Muhamad Ziyad Zolkefli yang mewakili kontinjen negara terdiri daripada 21 atlet meluahkan harapan itu menerusi sekeping kertas yang ditunjukkan ketika perarakan masuk kontinjen negara pada upacara perasmian yang berlangsung di Stadium Maracana, awal pagi tadi.

Pada sekeping kertas itu tertulis "Terima Kasih Rakyat Malaysia. Doakan Kejayaan Kami" yang terdapat di dalam laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN), jelas menggambarkan atlet paralimpik amat mengharapkan seluruh peminat sukan tanah air memberikan sokongan kepada mereka yang akan memulakan saingan hari ini.

Pada upacara perasmian temasya Sukan Paralimpik 2016, Kontinjen Malaysia diketuai Dr Ang Kean Koo dan pembawa Jalur Gemilang Abdul Latif Romly dengan 21 atlet dan 19 pegawai serta jurulatih memasuki stadium dengan mengenakan pakaian kebangsaan.

Kontinjen negara mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 jenis sukan yang dipertandingkan dengan olahraga, powerlifting dan berbasikal dilihat mempunyai prospek pingat.

Sukan Paralimpik Rio 2016 berlangsung dari 7 hingga 18 September ini.

Atlet negara yang akan turun beraksi hari ini, Mohd Faizal Mohamed Noh dan Muhammad Afiq Afifi Rizan (4km ujian masa-tandem), Mohd Azwar Bakar (ping pong perseorangan lelaki), Nasharuddin Mohd (400m saringan 1) dan Mohd Faizal Aideal Suhaimi (100m saringan 1). - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA