Ditetak Rakan Serumah

Foto Harian Metro
ALOR GAJAH: Dua warga Nepal cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan akibat ditetak rakan serumah di Taman Mewah Kelemak, di sini, pagi tadi.

Difahamkan kejadian pada 6,30 pagi itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berusia 26 tahun terhadap ketiga-tiga mangsa selepas berlaku perselisihan faham mengenai kebersihan rumah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, dua mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Alor Gajah dan mereka dalam keadaan stabil.

"Seorang lagi yang cedera ringan diberi rawatan sebagai pesakit luar. Ketiga-tiga mangsa berusia 25 hingga 28 tahun bekerja di sebuah kilang di daerah ini.



"Suspek menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dan melarikan diri sejurus kemudian. Kejadian disedari jiran yang juga rakan sekerja mangsa kemudian menghubungi majikan," katanya.

Beliau berkata, gerakan memburu suspek dipercayai masih bersembunyi sekitar taman perumahan itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA