Deklarasi ASEAN Mengenai Zika Diwujudkan


PUTRAJAYA: Menteri-menteri Kesihatan ASEAN mencapai kata sepakat menerusi Deklarasi ASEAN mengenai zika yang mengariskan kerjasama dan langkah kesiapsiagaan terhadap ancaman virus tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, deklarasi itu menggariskan lima langkah untuk jaminan kesihatan dan kesejahteraan rakyat ekoran penularan zika sehingga menyebabkan banyak orang dijangkiti virus itu.

“Antara langkah itu adalah memperkukuhkan pengawasan penyakit dan memanfaatkan mekanisma penilaian risiko serantau sedia ada mengenai penyakit virus zika dan mengambil langkah sesuai untuk mengurus risiko.

“’Selain itu, ia menyentuh bagi menjalankan penyelidikan dan perkongsian terbaharu serta amalan terbaik berkaitan virus zika,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Subramaniam, Deklarasi ASEAN mengenai zika itu dicapai hasil Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN menerusi persidangan video yang berlangsung pada Isnin lalu.

Pada masa sama, Subramaniam memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan esok berhubung keperluan menggugurkan kandungan bayi ibu yang dijangkiti zika. - UtusanMalaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA