DCF: Tiada pelajar Dayak tolak universiti kerana kemiskinan


KUCHING: Yayasan Budaya Dayak (DCF) akan memastikan tiada pelajar Dayak menolak tawaran belajar pada peringkat pengajian tinggi disebabkan masalah kemiskinan.

Itu jaminan diberikan Pengerusi DCF yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika menerima kunjungan hormat daripada ahli Jawatankuasa Kesatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) diketuai Presidennya Dr Dusit Jaul di pejabat beliau di sini semalam.

“Kami akan membantu pelajar miskin mendapat tawaran melanjutkan pengajian di universiti tetapi menghadapi masalah kewangan untuk mendaftar,” katanya.

Semasa kunjungan hormat itu, Uggah turut mendapat ucapan tahniah daripada SDGA atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri selain diberi taklimat mengenai program telah serta bakal dianjurkan kesatuan itu.

Antaranya ialah program dilaksanakan khas untuk pelajar bakal menduduki peperiksaan awam seperti Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar sependapat dengan SDGA, iaitu pendidikan isu sangat penting bagi komuniti Dayak.

Justeru beliau menegaskan tiada pelajar Dayak ditutup peluangnya melanjutkan pelajaran di universiti hanya disebabkan masalah kewangan.

“Tahniah juga kepada SGDA kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan Bengkel Mahkamah Bumiputera pada 12 November depan dan Majlis Makan Malam Perpaduan Dayak pada 4 Disember nanti,” katanya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA