Daily Telegraph dedah 8 pengurus EPL terbabit rasuah


LONDON: Selepas beberapa jam Pengurus England, Sam Allardyce terpaksa melepaskan jawatannya, kini Persatuan Bola Sepak England (FA) berdepan lebih banyak krisis sama apabila lapan pengurus kelab di Liga Perdana termasuk seorang bekas pengurus didapati mengambil rasuah daripada yuran perpindahan pemain mereka.

Skandal berkenaan hasil siasatan berterusan akhbar The Daily Telegraph selama ini.

Akhbar British itu semalam mendakwa setuju menyerahkan bukti skandal berkenaan kepada FA dan polis selepas pihaknya memperoleh banyak maklumat berkaitan menerusi penyamaran wartawan mereka dengan merakam perbualan kalangan ejen pemain yang sudah menyogok pengurus berkenaan.

Pendedahan itu hanya 24 jam selepas akhbar berkenaan mendedahkan skandal Allardyce yang meminta bayaran 400,000 pound (RM2.147 juta) dalam satu urus niaga jual beli pemain membabitkan satu firma palsu yang diwujudkan wartawan penyamar berkenaan.

Pertemuan itu kemudian menyaksikan pengurus berusia 51 tahun itu hilang jawatan selepas hanya sempat 67 hari mengendalikan skuad England dengan satu aksi perlawanan antarabangsa di pusingan kelayakan Piala Dunia.

Dalam laporan hari ini, Telegraph tidak mendedahkan sebarang nama pengurus terbabit namun semua pengurus yang dihubungi akhbar berkenaan menafikan melakukan sebarang salah laku berhubung dakwaan rasuah berkenaan.

Laporan itu mendakwa ejen pemain berkenaan mendedahkan lapan pengurus kelab dalam Liga Perdana dengan lima daripadanya menerima sendiri bayaran berkenaan.

Ia juga mendakwa dua lagi pengurus Liga Kejuaraan (Divisyen Dua) juga terbabit menerima bayaran rasuah dengan seorang daripadanya meminta sogokan tambahan daripada pemain sendiri selepas dia setuju menaikkan gaji pemain berkenaan.

Akhbar berkenaan juga memperincikan bagaimana bayaran berkenaan dilakukan menerusi pihak ketiga dengan 'persetujuan konsultan yang dipercayai.' - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA