Cukai Lapangan Terbang Dinaikkan


KUALA LUMPUR: Caj perkhidmatan penumpang (PSC) atau lebih dikenali sebagai cukai lapangan terbang akan dinaikkan di semua lapangan terbang di negara ini bermula pada 1 Januari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kenaikan cukai tersebut ba­gaimana­pun masih menjadikan caj yang dikenakan di lapangan terbang negara ini kekal rendah berbanding lapangan terbang di negara lain di rantau ini.

Beliau berkata, pelaksanaan cukai baharu tersebut akan menyaksikan lapangan terbang negara ini mengenakan caj pada tahap sederhana.

“Suruhanjaya Pe­nerbangan Malaysia (Mav­com) telah memberikan cadangan ber­hubung kenaikan cukai terbabit kepada Kabinet dan perkara itu masih berada di peringkat perbincangan.

“Jumlah dan maklumat kenaikan cukai tersebut akan di­umumkan oleh Mavcom nanti,” katanya selepas merasmikan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sungai Long, Kajang dekat sini hari ini.

Beliau mengulas la­poran akhbar berhubung kadar PSC akan dilaksanakan di semua lapangan terbang di negara ini tidak lama lagi.

Selain kategori an­tarabangsa dan domestik, struktur PSC juga akan melibatkan kadar bagi penerba­ngan dalam ne­­gara-negara ASEAN.

Tiong Lai ber­kata, kerajaan tidak me­ngamalkan sebarang dis­kriminasi da­lam mengenakan cukai-cukai antara syarikat pe­nerbangan premium dan pe­nerbangan tambang murah ma­lah polisi negara adalah sentiasa untuk membantu penerbangan tambang murah.

“Justeru, kita menyediakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk syarikat penerbangan premium manakala syarikat penerbangan tambang murah pula menggunakan KLIA2,” katanya.

Dalam pada itu, Mavcom memberitahu, pihaknya telah memberikan penerangan berhubung struktur baharu PSC kepada Kabinet semalam.

“Mavcom akan berbincang berhubung langkah-langkah yang akan diambil seterusnya secara dalaman dan pengumuman rasmi akan dibuat pada masa yang akan ditetapkan,” jelas suruhanjaya itu dalam kenya­taan di sini hari ini.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA