Coli Boleh Membunuh? Tiga Mitos Barah Payudara


Barah payudara menjadi mimpi ngeri di kalangan wanita, sehingga menimbulkan pelbagai mitos mengenai punca penyakit ini, sehingga para wanita percaya bahawa mencegah barah sangat mudah.

Portal The Guardian menyenaraikan tiga mitos mengenai barah payudara, menurut Naomi Elster, seorang penulis dan saintis yang sedang menyelidik perubatan barah di Royal College of Surgeons, Ireland:

1. Coli punca barah

Idea bahawa memakai pakaian dalam wanita seperti coli dikatakan boleh menyebabkan barah payudara telah wujud sejak tahun 1995, apabila Sydney Singer dan Soma Grismaijer menerbitkan buku mereka Dressed to Kill.

Dakwaan ini telah dihidupkan semula tahun lepas apabila pengamal perubatan alternatif menulis artikel di sebuah laman web milik selebriti Hollywood, Gwyneth Paltrow. Tiada seorang pun daripada mereka merupakan pakar perubatan.

Sebuah kajian 2014 oleh Pusat Barah Fred Hutchinson di Seattle, Amerika Syarikat (AS), mendapati bahawa pemakaian coli tidak berkait dengan sebarang risiko barah, disokong oleh beberapa badan lain di AS dan United Kingdom.

Jika anda mendapati bahawa memakai coli menyakitkan, mungkin sebenarnya anda cuma perlu ke pusat beli-belah dan dapatkan coli baharu.

2. Biar busuk asalkan bebas barah

Mitos bahawa pewangi ketiak boleh menyebabkan barah berpunca daripada tanggapan kononnya “bahan toksin” disekat oleh anti-deodoran atau pewangi anti-peluh, walaupun kebanyakan bahan buangan sedia ada disingkirkan oleh sistem perkumuhan badan.

Sebuah kajian 2002 oleh Journal of the National Cancer Institute yang melibatkan 1,606 wanita mendapati tiada kaitan antara penggunaan anti-deodoran dan barah.

Sebuah lagi kajian pada 2006 mendapati bahawa 82 peratus wanita yang bebas barah menggunakan pewangi anti-peluh.

3. Radiasi mammogram sebabkan barah

Risiko maut daripada barah boleh dikurangkan sebanyak 25 peratus jika barah ditemui pada peringkat awal, biasanya menggunakan mammogram — proses X-ray bertenaga rendah untuk memantau payudara.

Oleh demikian, mitos untuk mengelak mammogram merupakan sangat bahaya, lebih-lebih lagi apabila pengamal perubatan bersetuju bahawa kebaikan mammogram jauh melebihi mana-mana risiko.

Prosedur mammogram selama 20 minit setiap tahun cuma menggunakan dos radiasi rendah, malah lebih rendah daripada X-ray dada, dan tidak mampu menyebabkan barah. - Malaymail

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA