Cina Muslim Jadi Target Militan Daesh


Militan Daesh kini dikesan cuba merekrut Cina Muslim di rantau ini untuk menyertai kumpulan berkenaan.

Memetik laporan akhbar Oriental Daily kelmarin, Pegawai Bahagian Kajian dan Strategik Cawangan Khas PDRM Bukit Aman , Deputi Superintendan Tan Kok Tiang berkata, perkara berkenaan terbongkar selepas polis menemui laman web serta laman sosial milik kumpulan pengganas berkenaan yang turut memaparkan lagu dalam bahasa Mandarin.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dikenal pasti cuba mempengaruhi orang ramai menjadi anggota baharu menerusi propaganda yang disampaikan menerusi laman web berkenaan,

““Agak ramai suspek anggota militan Daesh ini berasal dari Johor. Ini membuktikan Johor telah menjadi lokasi persembunyian dan Segamat adalah salah satu daripadanya .

“Sebab itu polis ambil keputusan untuk mengadakan seminar melalui persatuan daerah di Johor untuk menerangkan keadaan semasa ketika,” katanya pada Seminar Anti Keganasan, anjuran bersama Persatuan Perniagaan Cina Segamat, persatuan ketua-ketua kampung Cina Segamat dan Balai Polis Segamat, kelmarin.

Kok Tiang berkata, pihaknya menyeru kepada kaum Cina agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang cuba dibawa oleh militan Daesh berkenaan.

“Setakat ini di China seramai 800 Cina Muslim etnik Uyghur di Wilayah XinJiang dikesan terlibat dalam kegiatan militan Daesh,” katanya

Sementara itu, sumber polis mengesahkan militan Daesh cuba menyusup masuk ke negara ini melalui negeri-negeri yang mempunyai pintu masuk antarabangsa.

“Mereka bukan setakat mahu mempengaruhi kaum Cina malahan terdapat pelbagai bahasa digunakan untuk menarik minat kaum dan bangsa lain yang ada di rantau ini menyertai kumpulan berkenaan," katanya.

Sebelum ini empat lelaki termasuk seorang warga tempatan yang terlibat Daesh ditahan polis Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman dalam beberapa siri tangkapan sejak 2 Ogos hingga 17 September lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 26 hingga 38 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara, Selangor dan Pahang.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 37 tahun disusuli seorang lelaki warga Nepal dan warga Maghribi," katanya.

Khalid, juga dilapor berkata, polis juga menahan seorang pemandu peribadi kepada ahli perniagaan di Pahang yang merekrut orang ramai menyertai Daesh menerusi Facebook.

Jelasnya, suspek itu juga berhubung dengan Mohamad Wanndy Mohamad Jedi iaitu anggota kumpulan pengganas Daesh Malaysia di Syria menerusi Facebook.- SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA