China minat jadikan Sarawak destinasi pelancongan



KUCHING: Keindahan alam semula jadi serta kekayaan biodiversiti yang terbentang luas di negeri ini menarik minat pelabur dari Beijing, China untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan baharu di kalangan pelancong China.

Semalam, delegasi dari Beijing, China yang diketuai Pengerusi Beijing Glory Culture Development Co.Ltd Liu Ning mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Kunjungan tersebut adalah sempena lawatan tujuh hari delegasi tersebut bermula 31 Ogos hingga 7 September ke negeri ini bagi menerokai peluang perniagaan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti serta infrastruktur di negeri ini.

Bercakap kepada media di pejabatnya yang terletak di Wisma Sultan Tengah di sini semalam, Abang Johari berkata difahamkan 10 juta pelancong China melawat Thailand setiap tahun dan pelancong-pelancong ini mencari tempat baharu yang penuh kehijauan serta jauh daripada kesibukan.

“Mereka baharu sampai di Kuching semalam (Rabu) dan sudah tertarik dengan keindahan serta kekayaan alam semula jadi yang terdapat di negeri ini dan ingin melebarkan perniagaan mereka di negeri ini dalam sektor pelancongan khususnya.

“Satu daripada cadangan saya kepada mereka ialah membina hotel dan infrastruktur baharu di negeri ini atau mengambil alih hotel-hotel sedia ada untuk penjenamaan dan pembangunan semula dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya.

Tambah Abang Johari, di Beijing, syarikat pelabur membangunkan hutan tiruan seluas dua hektar bagi memenuhi kehendak para pelancong dan rakyatnya yang ingin melihat dan menikmati kawasan hutan.

Namun di Sarawak kita mempunyai kawasan hutan semula jadi yang amat luas untuk para pelancong dari China dan negara-negara lain menikmati pemandangan alam semula jadi yang kehijauan dan mendamaikan.

“Jika 10 juta pelancong China melawat Thailand setiap tahun kita juga mahukan pelancong seramai itu tetapi persoalannya adakah kemudahan penginapan kita mencukupi untuk pelancong yang begitu ramai.

“Sebab itu, kita amat menggalakkan penyertaan pihak dari Beijing, China ini untuk melabur dalam sektor hospitaliti di negeri ini seperti perhotelan, restoran dan sebagainya bagi memenuhi keperluan para pelancong,” katanya.

Dalam pada itu delegasi di bawah Beijing Travel Group (BTG) ini dijadual akan melawat tempat-tempat menarik di sekitar bandar raya ini seperti Taman Negara Bako, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Kampung Budaya Sarawak, Sarawak River Cruise serta tapak-tapak bersejarah.

Sebelum berangkat pulang ke Beijing pada 7 September, delegasi ini juga akan menerokai peluang-peluang perniagaan di Sibu pada 3 dan 4 September serta Miri pada 4 dan 5 September.

Turut menyertai delegasi ini, Naib Presiden Beijing Glory Culture Development Co.Ltd Cai AiRen dan Pengurus Projek Wu Yu, Ketua Pegawai Kanan BTG Hotels & Resort Group Wang Qiang, Timbalan Pengurus Besar BTG Travel & Service Group Liu Jin dan Pengurus Pemasaran Travel Service Group Wang Chuan. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA