Catat Pertumbuhan 6.5 Peratus Menjelang 2030

Foto Utusan Borneo
KUCHING: Sarawak bakal mencatatkan pertumbuhan ekonomi tahunan 6.5 peratus menjelang tahun 2030 sekaligus mencapai status negeri berpendapatan tinggi.

Pada masa ini kadar pertumbuhan ekonomi tahunan Sarawak masih berada pada tahap 4.4 peratus.

Memetik laporan Utusan Borneo, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelan transformasi sosioekonomi akan diperkenalkan untuk memastikan Sarawak mencapai kadar pertumbuhan ekonomi tahunan yang ideal iaitu sebanyak 6.5 peratus.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 6.5 peratus perlu dicapai untuk membolehkan Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Oleh sebab itu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah mengarahkan Jawatankuasa Kabinet Transformasi Sosioekonomi memperkenalkan program transformasi sosioekonomi melibatkan enam bidang keberhasilan utama iaitu pengilangan, pertanian, pelancongan, perumahan, pembangunan bandar dan pembangunan alam sekitar,” katanya.

Menurutnya terdapat tiga jawatankuasa kabinet negeri telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kabinet Transformasi Luar Bandar, Jawatankuasa Kabinet Pencapaian dan Transformasi Penyampaian Perkhidmatan dan Jawatankuasa Kabinet Transformasi Sosioekonomi yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata untuk tujuan itu beberapa pengesyoran dan cadangan program transformasi akan dikemukakan kepada Ketua Menteri selaku pengerusi Jawatankuasa Pemandu pada mesyuarat dijadual diadakan sekitar Oktober depan.

“Saya tidak boleh umumkan cadangan atau pengesyoran program transformasi dimaksudkan kerana ia hanya akan diumumkan oleh Ketua Menteri selaku pengerusi ‘Steering Committee’ dalam satu mesyuarat kelak apabila ia sudah dimuktamad dan diluluskan oleh kerajaan negeri kelak.

“Difahamkan juga pelan transformasi yang sudah dimuktamadkan akan dimasukkan dalam Bajet Negeri bagi tahun 2017,” jelasnya.

Beliau menambah hasil mesyuarat yang berlangsung semalam, Jawatankuasa Transformasi Sosioekonomi telah mengenal pasti beberapa cabaran serta isu perlu ditangani untuk mencapai pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 6.5 peratus.

Katanya antara cabaran yang perlu ditangani ialah wujud keperluan tinggi untuk mentransformasi kawasan luar bandar terutama meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk luar bandar kepada RM4,000 sebulan, menambah jumlah kedatangan pelancong dan meningkatkan jumlah pelaburan swasta di Sarawak.

“Jika kita berjaya menangani cabaran-cabaran ini saya yakin Sarawak dapat mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.5 peratus setahun.

“Ini akan dicapaikan dengan terlaksananya program-program transformasi sosioekonomi yang dicadangkan seterusnya diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA