Caj Kopi Mahal Untuk Didik Pelanggan ‘Biadap’


UNIK…. Pemilik kedai kopi di negara ini mungkin boleh menggunakan kaedah perniagaan dari pemilik kedai kopi di Sepanyol apabila mengenakan bayaran yang berbeza kepada pelanggan ‘biadap’.

Daily Mail Online melaporkan, Mariel Valencia Madrid mengenakan bayaran yang tinggi terhadap pelanggan yang ‘biadap’ bagi mengajar orang ramai untuk bersikap lebih bersopan santun.

Wanita berusia 41 tahun itu mengenakan bayaran yang lebih murah kepada pelanggan bersopan santun dan menyenangkan staf ketika membuat pesanan dengan harga kopi hanya akan dicaj sebanyak £2.52 (RM 13.70). Sebaliknya, pelanggan yang ‘biadap’ akan dikenakan caj sebanyak £4.20 (RM 22.80).

Pelanggan turut mendapat diskaun bonus jika menggunakan perkataan ‘tolong’,’terima kasih’ atau mengucapkan ‘buenos dias’ (selamat pagi) kepada pelayan dimana harga kopi akan diturunkan kepada £1.09 (RM6.00).

Mariel berpendapat, orang ramai kini bersifat tergesa-gesa sehingga lupa untuk bersopan santun.

“Orang kini lebih tergesa-gesa sehingga lupa untuk menyebut perkataan ‘tolong’ jika mahukan sesuatu,” katanya.

Idea yang bernas ini dilaksanakan di Restoran Blau Grifeu, Llanca berdekatan dengan pantai Costa Brava, Sepanyol yang menjadi tarikan pelancong.

Namun, pemilik kedai kopi yang berasal dari Columbia itu mendakwa, pelancong luar sering kali dilihat bersikap ‘biadap’ dan idea tersebut digunakan untuk mendidik mereka supaya lebih bersopan santun.

Baginya, setiap tingkah laku yang baik akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan.

“Saya letakkan tanda sistem harga baru itu di tingkap dan banyak perubahan yang berlaku. Orang ramai kini lebih bersopan santun dan ini telah menjadikan kehidupan seharian menjadi lebih baik”, katanya. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA